Friday 9 January 2009

Pertanyaan Raja Kelantan Tentang Majzub. Penyebaran Thariqat Ahmadiyah di Kelantan

Soalan 107:

Daripada sahaya Raja Negeri Kelantan menyatakan kepada Tok Guru. Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, bahawa ada pada tahun ini, sanah 1323 H, datang Syeikh Thariqat namanya Haji Encik 'Id ibnu Haji Encik Din Linggi (1) anak murid Syeikh Muhammad bin Ahmad Dandarawi (2). Maka hasil beberapa banyak anak murid dari kecil, besar, laki-Iaki dan perempuan jadi majzub (3). Dan setengah orang yang percaya membetulkan thariqat Haji Encik 'Id itu, dan setengah orang lagi tiada membetulkannya. Maka bolehlah Tuan nyatakan mari kepada sahaya, karena sahaya hendak ketahui akan hal majzub yang telah jadi itu. Dan bagaimana jalan sebenarnya menunjukkan keadaan yang boleh jadi majzub, di dalam dua tiga hari mereka itu mendatangkan majzub dengan terlalu lekas atas kanak-kanak yang belum baligh lagi. Istimewa pula atas orang-orang 'aqil lagi baligh. Maka halnya ini bukannya sahaya tiada percaya, tetapi belum terdengar dan belum lagi ada di dalam Kelantan pekerjaan ibadat yang semacam itu. Maka harapkan boleh dapat nash dan dalil yang tentu dengan dipanjangkan sedikit atas menjawab perkataan yang tersebut. Demikianlah adanya (4).


Jawapan 107:

Bermula soal daripada tahqiq (5) akan hal orang yang majzub itu, sayogianya ditanyakan daripadanya akan 'ulama' as-shufiyah yang menghimpun mereka itu antara syari'at dan haqiqat yang telah merasa mereka itu akan lazat minuman piala jazbah (6) dengan zauq (7) yang shahih (8).

Syair:من ذاق طعم شراب يدريه* ومن دراه غدا بالروح يشريه

Ertinya: "Barangsiapa merasa lazat minuman golongan shufi, niscaya tahulah ia, Dan barangsiapa mengetahui minuman golongan shufi, niscaya jadilah ia dengan jiwa raganya (rohnya) membelinya"(9).

Karena setengah daripada qawa'id ulama' dan mentashrih (10) kan dengan dia oleh al-'Alim arRabbani asy-Syaikh Ahmad Zarruq (11) Rahimahullahu Ta' ala:

إنما يؤخذ علم كل شيء من أربابه فلا يعتمد صفي في الفقه إلا أن يعرف قيامه عليهز ولا فقيه في
التصوف إلا أن تعرف تحقيقه له.

Ertinya: "Hanya sesungguhnya di ambilkan ilmu tiap-tiap sesuatu itu daripada ahlinya, maka tiada dii'timad (12) kan kalam shufi pada masaif fiqh (13) melainkan bahawa diketahuikan berdirinya atas fiqh itu. Dan tiada dii'timadkan kalam faqih (14) pada masaif tashauwuf (15) melainkan bahawa diketahuikan tahqiqnya bagi tasawuf itu".

Dan setengah daripada qawa'id itu:

أخذ العلم والعمل عن المشايخ اتم من الأخذ دونهم بل هو
آيات في صدور الذين أوتوا العلم واتبع سبيل من اناب إلي.

Ertinya: "Mengambil pengetahuan dan amal daripada Masyayikh (16) itu terlebih sempurna daripada mengambil daripada yang lain daripada mereka itu".


Ada pun hamba (Syeikh Ahmad al-Fathani, pen:), maka sungguh pun telah hamba terima akan Thariqat Ahmadiyah (17), yang dikehendaki akan dia dengan thariqat yang tersebut di dalam soal ini, daripada ahlinya. Tetapi sekarang belum hamba merasakan (halul jazbah) seperti barang yang merasakan dia oleh segala mereka yang merasanya.

Tetapi tatkala dihadapkan soal ini kepada hamba, dan terpayah atas hamba menghasilkan jawab yang syafi (18) dengan mengangkatkan soal ini kepada ahli pada masa ini daripada ulama yang menghimpunkan antara dua laut yang tersebut. Dan zhahir daripada halil waqi' ah (19) berkehendak kepada jawabnya dengan bersangatan segera. Maka tiada ada jalan bagi hamba melainkan bahawa hamba segerakan dengan jawab daripadanya dengan bahawa hamba pungutkan daripada kalam shufiyah di dalam kutub(20) mereka itu barang yang bergantung dengan masalah ini. Dan hamba sebutkan barang yang terlintas pada hati hamba sekarang ini barang yang bergantung dengan demikian itu jua. Dan hamba harap daripada Tuhan bahawa menjadikan Dia akan yang demikian itu setengah daripada tahqiq dan betul. Seperti hamba harap daripada ahlil 'ilmi apabila mendapat mereka itu akan insyaf bahawa dimuqabalahkan dengan qabul.

Maka berkata hamba, bermula yang hamba fahamkan daripada kalam shufiyah Rahimahullahu Ta'ala 'anhum pada kutub mereka itu yang terlihat hamba atasnya sekarang ini bahawa majzub diithlaqkan dia atas empat bagian.

Pertama: Mereka yang ditarikkan dia oleh Allah Ta'ala kepada beberapa hal (21) yang mulia dan beberapa maqam (22) yang tinggi di dalam masa yang sedikit serta dilenyapkan akalnya, maka dilalukan dia atas segala hal dan maqam itu dengan bersegera.

Dan misalnya pada menghampirkan demikian itu bagi segala akal, hal orang yang di atas kereta api yang amat deras perjalanannya yang berjalan tiga hari akan jalan yang dijalan padanya tiga puluh hari.

Atawa hal deras mesra lalu khasiat ubatan kahrubaiyah (23) di dalam beberapa daqiqah (24) yang amat sedikit pada segala juzuk dawainya yang dibentangkan antara segala tiangnya pada perjalanan beberapa bulan.

Atawa hal lekas suluh cahaya matahari kepada dunia beberapa tsawani daqiqah yang amat sedikit pada perjalanan ribu ribu tahun (25). Dan kemudian daripada dilenyapkan akalnya itu tiada sadar ia sekali-kali.

Maka majzub ini ialah yang dikehendaki oleh al-Imam ar-Rabbani asy-Syeikh Muhammad Abil Mawahib asy-Syazili Rahimahullah Ta' ala dengan katanya:
السالك يسلك على صراط مستقيم والمجذوب عند القوم عقيم.

Ertinya: "Bermula murid itu berjalan ia atas jalan yang lurus dan majzub itu pada sisi kaum shufiyah itu mandul ia".

Dan ialah yang dikehendaki oleh Saiyidi 'Ali al Khawash Radhiyallahu 'anhu pada katanya:

ليس للمجاذيب مقام عملي فليس لهم في جنة الأعمال نصيب

Ertinya: "Tiada ada bagi segala yang majzub itu maqam yang dibangsakan kepada amal. Maka tiada bagi mereka itu pada syurga segala amal itu habuan".

Dan pada katanya :

إن السوقة وأرباب الحرف والصنائع اعظم نفعا من المجاذيب لقيامهم في الأسباب النافعة لغيرهم ولكثرة خوفهم من الله تعالى إذا وقعوا في ذنب.

Ertinya: "Bahawasanya ahli pekan dan segala yang mempunyai pekerjaan itu terlebih besar manfaat daripada segala orang yang majzub. Karena berdiri mereka itu pada segala sebab yang memberi manfaat bagi segala yang lain daripada mereka itu. Dan karena banyak takut mereka itu daripada Allah Ta' ala apabila jatuh mereka itu di dalam dosa".

Dan berkata Saiyidi 'Ali al-Khawash pula, pada majzub ini, bahkan pada majzub yang daripada bagi yang kedua dan yang keempat yang lagi akan datang, tetapi pada ketika lenyapnya itu:

أما المجاذيب فسلموا عليهم بترك السلام ولا تسألواهم الدعاء فربما دعوا عليكم وكشفوا عوراتكم

rtinya: "Ada pun segala majzub, maka memberi salam oleh kamu atas mereka itu dengan meninggalkan salam dan jangan kamu menuntuti akan mereka itu akan doa.Karena terkadang berdoa mereka itu atas kamu dengan kejahatan. Dan membuka mereka itu akan kemaluan (26) kamu".

Kedua: Majzub seperti yang tersebut itu tetapi dikembalikan dia kepada sadar dan diturunkan dia daripada satu maqam kepada satu maqam. Dan demikianlah hingga hasil baginya tetap قدم (qidam)(27) dan تحقق (tahaqquq)(28) pada tiap-tiap maqam daripada segala maqam as-salikin (29).

Maka majzub ini yang dikehendaki pada kat as- Syeikh Muhammad Abil Mawahib asy-Syazili yang tersebut:

لكن من المجاذيب من يرد إلى طريق التأديب فهذا الذي في تدليه يلاقى السالك في ترقيه

Ertinya: "Tetapi setengah daripada segala orang yang majzub mereka yang dikembalikan dia kepada jalan memperadabkan, maka majzub inilah yang pada ketika terturunnya menjumpai ia akan orang yang salik (3O) pada ketika ternaiknya.

Ketiga: Majzub yang tiada dilenyapkan daripada akalnya sekali-kali. Maka majzub ini yang dikehendaki dengan kata Syeikh [Muhammad] Abil Mawahib [asy-Syazili] yang tersebut itu :

المجذوب الصناحى أفضل من الممحو بصفة الماحى

Ertinya: "Majzub yang jaga ia, afdhal daripada majzub yang dihapuskan dengan sifat Tuhan Yang Mahi “.

Keempat: Salik yang majzub, dan iaitu murid yang pada setengah-setengah ketika dilenyapkan daripada akalnya

Dan ini yang dikehendaki dengan katanya

الرجل من جمع بين السكر والصحو والإثبات والمحو

Ertinya: "Laki-Iaki yang sempurna itu, mereka yang menghimpunkan antara mabuk dan sadar, dan di antara ditetapkan dan dihapuskan".

Syair:

لا يجمع الضد إلا من له قدم* في الصدق بالحق مع علم وتمكين

Ertinya: "Tiada menghimpunkan yang berlawanan melainkan mereka yang ada baginya ketetapan pada benar dengan sebenar serta iImu dan tamkin (31)"

Dan majzub ini barangkali yang dikehendaki dengan barang yang dinuqilkan daripada Syeikh Abil Madyan al-Maghribi qaddasallahu ruhahu wa nafa'ana bi bararakathi, bahawasanya menghampirkan jalan atas segala muridnya. Maka memindah ia akan mereka itu kepada tempat fatah (32) dengan ketiadaan lalu atas segala 'Alam Malakut (33) karena takut 'asyiq (34) mereka itu dengn ajaibnya. Kemudian maka apabila dapat futuh (35) bagi muridnya itu, niscaya terturun ia. Maka mengkasyaf (36) ia dengan sebenar dan seperti dinamakan tiap-tiap bagian daripada segala bagian yang empat ini.

Majzub dinamakan pula dengan "murad"(37), ertinya 'orang yang dikehendaki akan dia oleh Tuhannya Subhanahu wa Ta' ala".

Dan berkata Ibnu 'Ibad di dalam Syarh Hikam

وجعلهم على قسمين مرادين ومريدين وإن شئت قلت مجذوبين وسالكين.

Ertinya: "Dan menjadikan Allah Ta’ala akan mereka yang ditentukan dia dengan 'inayah-Nya dan dipilihkan dia bagi wilayah-Nya itu atas dua bahagian, segala mereka yang dikehendaki dan segala mereka yang menghendaki dan boleh engkau kata segala mereka yang majzub dan segala yang salik".

Dan telah berfirman Allah Ta'ala dalam surah Assyura ayat 13 yang bermaksud :

"Allah memilih serta melorongkan sesiapa Yang dikehendakiNya untuk menerima ugama Tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamanya itu sesiapa Yang rujuk kembali kepadanya (dengan taat)".

Maka adalah seolah-olah kata-Nya Ta'ala itu, isyarat kepada majzub yang iaitulah "murad", seperti barang yang memberi ketahuikan dengan dia oleh kalimah yang maknanya "menghendaki'.

Dan seolah-olah kata-Nya Ta'ala itu isyarat kepada salik yang iaitulah "murid"(38] seperti yang memberi ketahui dengan dia oleh kalimah yang maknanya "kembali', yang setengah daripadanya "kembali kepada Allah Ta' ala dengan suluk (39) atas jalan ahli attashauwuf'.

Maka diketahuilah daripada ayat ini bahawasanya harus bagi Tuhan Tabaraka wa Ta' ala dan mumkin (40) di dalam Qudrat-Nya (41) dengan terdahulu Iradat-Nya(42) dan MasyiahNya (43) bahawasanya memilih la daripada hamba-Nya, dan jikalau yang jahil (44) dan' ashi (عاصى) (45) sekali pun akan mereka yang dikehendaki-Nya kepada menjadikan dia majzub yang satu bagi[an] daripada beberapa bagian yang empat itu, sama ada laki-Iaki atawa perempuan, baligh atawa belum baligh.

Bahkan yang belum baligh itu lebih bersegera kepada menyabutkan dan menerimakan waridat (46) daripada ‘ulum (47) yang Rabbaniyah (48) dan anwar (49) yang 'irfaniyah (50) yang terluas dengan dia oleh dada dan tercemerlang dengan dia oleh hati istimewa pada ketika membanyak mereka itu daripada zikrullah Ta’ala.

Telah berfirman Allah Ta'ala : ألا بذكر الله تطمئن القلوب:

( سورة الرعد أية 28)

Ertinya: "Adakah tiada dengan menyebutkan Allah Ta' ala itu jadi lembut oleh segala hati?”

Karena kanak-kanak itu bersih ia daripada dosa dan terlebih kurang berbimbang hatinya dengan aghyar-aghya (51) dan terlebih hampa zihinnya (52) daripada akdar (53), dan terlebih nipis basyariyahnya (54) daripada yang lainnya. Maka adalah isti’dadnya (55) bagi ahwal (56) dan waridat itu terlebih banyak daripada yang lainnya.

Dan telah ittifaq (57) ahli akal dan ilmu bahawasanya tiada dapat bagi orang yang menuntuti sesuatu daripada pengetahuan dan kepandaian melainkan apabila bersedia ia bagi demikian itu dengan menghampakan dirinya dan hatinya baginya daripada segala yang lain daripadanya. Dan berkata shufiyah, bahawasanya ma'aritt (58) dan mawahib (59) itu tiada turun ia melainkan pada hati yang hampa.

Dan berkata Majnun Laila, syair:

اتاني هواها قبل أن أعرف الهوى* فصادف قلبا فارغا فتمكنا.

Ertinya: "Telah datang akan daku oleh kasih-Nya dahulu daripada mengetahui aku akan kasih.Maka mangenai kasih itu akan hati yang hampa, maka tetap ia".

Dan tiada dikatakan, tiada shah barang yang tersebut daripada jazbah, dan ahwal, dan maqamat (60) itu, melainkan bagi orang yang 'alim sahaja, dengan sebab kata ulama:

لم يتخذالله ولي جاهل

Ertinya: "Tiada mengambil Allah Ta'ala akan Wali yang jahil.

Karena demikian itu zhahir pada murid, dan iaitulah salik. Ada pun murad, yang iaitulah majzub, yang kalam kita padanya. Maka yang zhahir tiada disyaratkan keadaannya 'alim seperti tiada disyaratkan pada tiap-tiap daripada keduanya keadaan laki-laki dan yang sudah baligh karena umum yang tersebut itu, iaitu:

-الله يجتبي إليه من يشاء: سورة الشورى أية 13

Yang sharih pada ketiadaan singkat bagi kurnia-Nya dan mentashrih la Subhanahu wa Ta'ala dengan demikian itu pada beberapa ayat yang lainnya, serta mumkin bahawa dikurniakan yang jahil tatkala dijazabkan dia akan sekalian ilmu.

Yang setengah daripadanya barang yang mengshahkan a'malnya dan mumkin bahawa dikurniakan dia pada ketika itu akan barang yang membawa akan dia kepada tobat daripada segala maksiatnya, yang membangkit akan dia atas umpama mengqadha'kan segala sembahyang fardhu yang telah luput. Maka tobat ia dan mengqadha' ia akan dia dengan segera kemudian daripada sadarnya daripada jazbah itu dengan ketiadaan mendahului akan segala amal yang sunat daripada zikir dan lainnya atas demikian itu. Dan yang membangkitkan dia atas belajar segala ilmu yang wajib atasnya menuntuti dia. Dan mumkin bahawa adalah segala kurnia itu di dalam awal segala maqam yang dilakukan dengan dia atasnya.

Kemudian berkata hamba (Syeikh Ahmad al-Fathani, pen:), "Dan telah mengithlaqan (61) (pula oleh manusia akan majzub atas orang yang keluar daripadanya menjerit dengan kalimah al-Jalalah atawa lainnya. Maka jika adalah demikian itu dengan sebab kedatangan hal yang sebenar atasnya serta ketiadaan sadarnya, maka masuk ia pada salah satu daripada tiga bagian yang lain daripada bagian yang ketiga daripada empat bagian yang telah lalu.

Dan jika adalah demikian itu di dalam sadarnya, dan keluar demikian itu dengan terkerasi seperti hal orang yang dikeraskan dengan bersin, maka iaitu masuk di dalam bagian yang ketiga itu.

Dan jika adalah demikian itu dengan sengahaja dibuat-buat atawa dengan warid syaithani, maka iaitu bukannya majzub".

Dan berkata hamba pula, "Terkadang mengithlaqan oleh manusia akan majzub atas setengah-setengah daripada orang yang gila yang mengenai akan dia oleh syaithan atawa jin. Maka keluar daripadanya setengah-setengah daripada ajaib yang mencarikkan adat dengan tipu daya syaithan atawa jin itu, maka jika adalah ia murid yang di bawah tarbiyah syaikhnya sekali pun, padahal syaikh itu bukan ia sebenar-benar ahlit tarbiyah, maka bukannya majzub juga.

Karena terkadang difitnahkan murid itu dengan disalabkan (62) halnya yang sebenar tatakala cenderung nafsunya kepada barang yang dibukakan baginya daripada beberapa rahasia dan ajaib maka menyangka ia akan kelebihan dirinya. Dan hasil daripadanya riya', dan 'ujub, dan takabbur dengan demikian itu. Maka ditaslithkan (63) atasnya akan syaithan yang menyesat akan dia, hingga jadi ia gila, atawa kafir, dan mendakwa ia akan (masyikhah) (64].Maka menyesat ia akan orang yang mengikutnya :

أسأل الله الكريم أن يعيذنا وبما فينا من ذالك آمين.

1 comment:

Anonymous said...

tuan, boleh tak tolong terjemahkan jawapan syeikh fatani tersebut. saya tak faham sungguh bahasa dia