Sunday 11 January 2009

Perkembangan Tarekat Ahmadiyah di Malaysia & Nusantara

Tarekat Ahmadiyah masuk ke Malaysia pada permulaan abad ke-20 melalui tiga orang ulama iaitu melalui Syeikh Abdus Shomad bin Muhammad Saleh (Tuan Tabal) di Kelantan, Hj Shafii Muhammad Saleh (Tok Shafii) yang berasal dari Kedah dan Hj Muhammad Said bin Jamaluddin al-Linggi di Negeri Sembilan. Di Kelantan, tarekat yang dibawa oleh Tuan Tabal dikenali sebagai Ahmadiyah al-Rashidiyah. Manakala di Linggi, Negeri Sembilan dikenali sebagai Ahmadiyah al-Rashidiyah al-Dandarawiyah.

Di Kelantan, Tuan Tabal mengajar tarekat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu tetapi secara terhad kepada keluarga dan murid-muridnya yang tertentu sahaja dan bukan untuk disebar luas kepada masyarakat awam. Apabila Hj Muhammad Said al-Linggi datang ke Kota Bharu pada zaman seterusnya dan mengajar tarekat di sana, ramai pengikutnya yang mendapat majzub dan mabuk Allah dengan cepat setelah beramal dengan zikirnya. Suasana ini tidak disenangi oleh orang yang tidak faham tentang tarekat dan menimbulkan kekecohan. Perkara ini menyebabkan Raja Kelantan terpaksa meminta nasihat dari ulama’ iaitu Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fahthoni yang berada di Mekah ketika itu.

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1323H (1905 M). Wan Ahmad dalam jawapan yang panjang lebar menjelaskan bahawa ada beberapa tingkatan majzub dan bagi beliau hal itu adalah suatu yang mungkin terjadi jika Allah s.w.t. menghendaki. Beliau juga menerangkan bahawa beliau pernah menerima tarekat Ahmadiyah, “Tetapi sekarang belum hamba merasakan jazbah, seperti orang yang pernah merasainya”.

Di Ampangan, Negeri Sembilan, Hj Muhammad Said al-Linggi mengajar tarekat secara terbuka kepada orang awam. Beliau mengembangkan tarekat Ahmadiyah dibeberapa tempat antaranya iaitu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Singapura, Saigon, Ayuthia (Thailand), Burma dan Pulau Riau. Masjid Haji Jamaluddin di Ayuthia, utara Bangkok yang beliau asaskan sempena nama bapa beliau masih kekal hingga hari ini. Hasil usaha beliau mengikut kiraan yang tidak rasmi, pengikut tarekat Ahmadiah di Negeri Sembilan sahaja telah berjumlah lebih 75% dari jumlah penduduk negeri tersebut. Hj Muhammad Said al-Linggi pernah bersahabat dengan Syeikh Ismail Lundang Paku yang merupakan murid kepada Tuan Tabal. Perlu dimaklumkan bahawa ketika itu Tuan Tabal telahpun meninggal dunia.

Adapun Tok Shafi’e Kedah bermastautin dan mengajar di dalam Masjidil Haram, Mekah. Ramai para ulama dari nusantara pernah mengaji ilmu Tasawuf dan sebahagiannya mengambil ijazah tarekat Ahmadiyah daripada beliau. Antaranya ialah Hj Ismail bin Idris yang merupakan datuk kepada Syeikh Mahmud.

Wallahu A'lamIlahi anta maksudi wa ridhoka matlubi a'athini mahabbataka wa ma'arifataka

66929815

No comments: